Alhamdulillah, hari demi hari banyak dugaan mencelah namun Allah jua pembantu, pencetus idea agar selesai dan kurang masalah. Terima kasih buat Azhari dan teman-teman rapat yang sudi mendengar dan memberi pendapat agar masalah usah difikirkan sangat dan agar berjumpa penyelesaian yang tepat.
Walau apapun, saya berdoa pada Tuhan, moga hati mereka dibukakan. Jangan terlalu kagum dan taksub pada pegangan diri hingga lupa apa yang lebih utama. Hidup perlu tahu timbang rasa dan tolak ansur.
Usah ditambah lagi minyak tanah pada bara api. Lebih baik saya berdiam diri. Ada juga yang menyokong saya, itu pasti. Bukan kerana mereka rapat dengan saya, tapi kerana mereka mengerti apa yang sepatutnya terjadi.
Masih berharap semoga diri ini tidak lagi disalah erti. Bukan ingin mengikut kepala sendiri. Tapi ingin mengukur baju di badan sendiri. Tidak mahu menyusahkan sesiapa kerana tidak suka timbul kata-kata peluka jiwa.
Bukan ingin mematikan adat. Apatah lagi menjadi insan yang tidka beradat. Cuma adat itu sangat meluas. Apa yang baik, kita ambil. Apa yang kurang dan membebankan, tak salah untuk ditinggalkan. Selagi mana agama tidak dipinggirkan.
Lagi pula, ingin mencetus satu perubahan agar yang berlebihan dapat dikurangkan. Mengurangkan beban, mengurangkan tekanan. Melakukan sesuatu atas dasar kemampuan.
Fahamilah diri saya. Walaupun iman masih tidak layak dikatakan tinggi, tetapi masih harus menjaga nama. Yang datang bukan kaum kerabat sendiri sahaja. Tapi juga teman sekerja. Menjaga hati keluarga bakal mertua juga penting. Agar tiada yang memandang enteng.
Janganlah risau apa saudara mara nak kata. Bukannya selalu berjumpa mereka. Lagipun, masih ada adik-adik untuk meneruskan tradisi. Jadi, izinkanlah saya membuat sedikit kelainan daripada yang biasa. Yang penting tak hilang tuntutan agama. Yang penting, tidak mahu rasa bersalah menyusahkan sesiapa apatah lagi membiarkan saudara mara duduk di sebalik tabir
Berharap yang datang akan gembira. Menjamu mereka dengan seikhlasnya. Tak kira apa balasan mereka. Lagipun rezeki bukan di tangan mereka, ia tetap dari Tuhan juga. Yang penting mereka doakan perjalanan hidup mendatang beroleh bahagia. Itulah konsep perkahwinan yang saya pinta.
0 comments:
Post a Comment